Di mana syurgaku di sisimu wahai isteriku?


Perkahwinan adalah merupakan suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah insani yang tersedia semenjak manusia diciptakan. Perkahwinan juga merupakan satu jalan bagi mencapai kedamaian dan ketenangan jiwa dalam usaha menagih keredhaan Allah SWT sebagai pelengkap kesempurnaan hidup insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memerintahkan dan menggalakkan hamba-hamba-Nya untuk berkahwin sebagaimana firman-Nya:
“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha  Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32) 

Jaminan kekayaan yang dianugerahi Allah SWT ini bukanlah semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta-benda, tetapi kekayaan diri yang dimaksudkan ialah merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah SWT yang seterusnya dapat mendekatkan kita dengan keredhaan-Nya.Tanyalah setiap pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka merasai nikmat Allah SWT itu meliputi mereka kerana isteri itu adalah anugerah Allah SWT. Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah SWT rakamkan dalam Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” (Surah al-Rum 30:21)

Hakikatnya Allah SWT menjadikan isteri itu sebagai pasangan buat lelaki adalah merupakan anugerah dan bukannya hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa daripada Allah SWT. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan pemilikan itu, dan sentiasa merasa gelisah serta berwaspada akan kehilangannya.
Disebalik anugerah Allah SWT itulah kita akan mendapatkan syurga. Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita melalui hadis-hadis yang terakam melalui riwayat yang pelbagai bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah SWT ganjarkan kepada mereka yang berkahwin. Antaranya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah mengiktiraf perkahwinan ini dengan sempurnanya separuh daripada agama, maka sebahagiannya lagi disuruh kita supaya bertakwa.
Mengapa begitu besar ganjaran Allah SWT disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita di dunia, malah menambah saham akhirat dengan berlipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang telah berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga. Sering seorang lelaki yang juga merupakan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya di dalam keluarga. Sehingga seorang isteri itu perlu taat kepadanya. Kenyataan bahawa “syurga isteri itu bergantung pada redha suami” menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri di mana pula syurganya?

Pernahkah suami bertanya di mana syurganya di dalam rumah tangga?

Sungguh, Allah SWT itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat oleh Allah SWT pada yang terakhir dalam hadis tersebut untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga itu bersifat pelaburan. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan Allah SWT.

Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadis lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah SWT agar kaun hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah ketua yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada isteri bersifat pelaburan kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah di mana syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu.

Sudahkah kita melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita? Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan dan tunaikan. Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai sebuah peringatan buat diri sendiri, andai nanti disaat terleka dan terlupa untuk bertanya dan bermuhasabah di mana syurgaku di sisimu wahai isteriku yang tercinta. Semoga aku mampu menjadi suami yang terbaik buat isteriku dan ayah yang terbaik untuk anak-anakku.


Comments

Popular posts from this blog

Adakah itu Malam Lailatul Qadar

TIPS MENGETAHUI GADIS "MASIH DARA" ATAU "TIDAK"

Bertadarus Pada Bulan Ramadhan