8 Hadiah Berharga Untuk Yang Tersayang

"Pemberian Material Belum Mampu Tambat Kasih"
Setiap kali tiba tarikh penting, kita akan sibuk mencari sesuatu untuk dihadiahkan kepada yang tersayang. Ulangtahun perkahwinan, birthday atau apa sahaja yang ingin disambut akan diraikan dengan hadiah. Dengan harapan pemberian itu akan membuatkan si dia tersenyum. namun sedarkah kita bahawa senyuman yang tersayang itu tidak khusus untuk tarikh tertentu. Ciptalah senyuman itu di setiap saat dengan memberikan 8 hadiah ini :

1. Kehadiran

Kehadiran insan yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mail, facebook, telefon, gambar dan banyak lagi, namun dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu jadikan kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.
2. Mendengar
Sedikit orang yang mampu berikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar. Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung kita juga akan menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang ingin disampaikan.

3. Diam  
 Diam biasanya boleh digunakan untuk menghukum, mengusir atau membingungkan orang. Dengan hanya berdiam diri, pelbagai tafsiran akan si dia fikirkan. Namun diam juga ada kekuatannya. Diam boleh menunjukkan kecintaan kita pada si dia kerana memberi ruang. Dengan mendiamkan diri, kita akan membuatkan si dia lebih selesa untuk berbicara. Tanpa berbicara juga akan menghangatkan lagi perhubungan dengan si dia. Diam penuh dengan sifat romantik. Jangan kita lupannya.


  4. Kebebasan 
 Mencintai seseorang bukan bererti kita memberi hak penuh untuk memiliki atau mengatur kehidupan insan tersayang. Bolehkan kita mengaku mencintai seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberikan kebebasan adalah salah satu bukti cinta. makna kebebasan bukanlah berbuat sesuka hati tetapi memberi kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan dan dilakukan.

5. Keindahan

 Siapa yang tidak bahagia jika insan tersayang tiba-tiba tampil kacak atau cantik. Tampil indah dan rupawan adalah hadiah terbaik yang seharusnya diberi setiap masa. Tampil cantik dan kemas setiap hari akan membuatkan si dia terasa tenang dan gembira. Malah kediaman atau tempat tidur juga seharusnya dihias rapi dan kemas agar sentiasa membangkitkan mood yang romantik dan bahagia.



6. Tanggapan Positif

 Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran, sikap atau tindakan insan tersayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. cuba ingat berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukan nya demi anda. Ingat pula pernahkah anda memujinya. ucapan terima kasih, pujian dan maaf adalah hadiah cinta yang terbaik tetapi sering dilupakan oleh kita semua.
7. Kesediaan Mengalah 

 Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi sehingga menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku mungkin ada baiknya anda mengalah. Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temujanji dan itu adalah kali pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa manusia tidak sempurna.
 8.Senyuman 

 Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri  kepada dunia sekeliling kita. Senyuman itu satu ibadah.





Mari sama-sama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang dan mana yang belum. jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang  memperkukuhkan ukhuwah. Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya titis air, mana mungkin jiwa pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertalhtakan kasih..

Buatlah pilihan yang tepat demi membina perhubungan yang bahagia. bahagia itu pilihan kita. Pilihlah cara yang sesuai dan terbaik untuk mengecapinya.
Petikan dari Hizbur Rahman, Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

Adakah itu Malam Lailatul Qadar

TIPS MENGETAHUI GADIS "MASIH DARA" ATAU "TIDAK"

Bertadarus Pada Bulan Ramadhan