ANAK MUMAYYIZ MASIH TIDUR DENGAN IBU BAPA?.. APA HUKUMNYA?

Kebetulan membelek-belek sana sini, terjumpa soal jawab ini. Jom kita kongsi bersama!

ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA


Soalan : Assalamualaikum.. saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu saya tidak pasti kesahihannya.

Jawapan : 
 Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana khuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam Al-Quran berfirman (bermaksud ) :- 

"Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu ) pada tiga masa ; masa sebelum subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan keatas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu ) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar disekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana " (ayat 58 ).

Dalam ayat diatas, Allah memerintahkan anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya tiga waktu;

a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari ( ketika matahi tegak atas kepala ) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur 
    seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu dapa kepada anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut "Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu" Berkata ulamak - antara Syeikh Tohir Ibnu 'Asyur; " Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat aurat orang lain ) agar ia menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti " ( Tafsir at Tahrir wa-at Tanwir, surah An-Nur ayat 58).

Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat - seperti ibu bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya, haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat oleh orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab maliki)- melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu'Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih didalam buaian supaya dibawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur, perbuatan Ibnu Umar RA itu tidak wajib - kerana ia sukar dan sulit diamalkan- tetapi jida dapat diamalkan adalah baik. ( al-Mausu'ah al Fiqhiyyah alKuwaitiyyah 3/178 ).

Berkata Syeikh Ibnu al-Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi ) Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah diharamkan bersetubuhan dihadapan orang lain kecuali jika yang ada diahadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu , maka tidak mengapa. Adapun dihadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku didepannya tidak harus melakukan persetubuhan dihadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkannya. Anak kecil yang masih dalam buaian - sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan tidak mengapa berlaku persetubuhan dihadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dab belum dapat menggambarkannya.Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kepada orang lain. Oleh demikian adalah dibenci agama ibu bapa bersetubuh dihadapan anak kecil mereka sekalipun belum mumayyiz jika sudah pandai menggambarkan atau memahami apa yang dilihatnya. " ( Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh Al- Munajjid ). 

Rujukan;

1.       az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2.       al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3.       Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4.       al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

Comments

Popular posts from this blog

Adakah itu Malam Lailatul Qadar

TIPS MENGETAHUI GADIS "MASIH DARA" ATAU "TIDAK"

Bertadarus Pada Bulan Ramadhan